COVID 19

Wednesday, August 12, 2020

Niat asal mahu pulang ke kampung selama seminggu sempena cuti sekolah. Namun, siapa sangka perancangan itu bertukar menjadi satu ‘percutian’ panjang yang menjangkau sehingga 40 hari!

Satu pengalaman mahal yang tak akan dilupakan.

Asbab Covid 19 yang semakin serius, Perdana Menteri mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP ) yang berkuatkuasa serta-merta dan akibatnya kami terkandas di kampung dalam keadaan tidak bersedia. Saya dan anak-anak di Utara, manakala suami keseorangan di KL. 

Ia sesuatu yang di luar jangkaan namun saya saya masih mampu berbaik sangka bahawa kemelut itu hanya untuk tempoh sementara. Peringkat awal,  saya melaluinya dengan hati yang tenang-tenang sahaja. 

"Kerajaan memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi dari 15 hingga 28 April ini."

Allahu ….

Ketika pengumuman perintah PKP sudah memasuki fasa yang ketiga, hati mula rasa cuak. Penangguhan demi penangguhan menyebabkan masa yang bergerak  terasa begitu perlahan. Maka benarlah, menanti sesuatu yang tidak pasti, bukanlah satu perkara yang mudah. 


Tempias mula dirasai oleh semua orang. Anak-anak mula berbunyi menyuarakan rasa bosan, sudah mula bertanya-tanya bila boleh pulang ke rumah sendiri. Pergerakan yang terbatas dan tidak boleh ke sana ke sini sesuka hati membuatkan fikiran masing-masing semakin tepu. 


Pada saat itu, hati saya sendiri membuak-buak mahu 'bebas' daripada terus lemas dengan kemelut COVID 19 yang belum tamat.


Tiada apa yang boleh saya lakukan bagi mengubah sesuatu yang di luar kawalan saya, melainkan mengalihkan perhatian dengan fokus kepada perkara yang saya boleh kawal.


Satu perkara yang saya syukuri, saya membawa kamera bersama semasa pulang ke kampung. Maka itulah yang menjadi 'penyelamat' saya ketika itu. 


Tiba-tiba sahaja, sekecil-kecil perkara yang wujud di sekitar rumah emak menjadi buruan dan perhatian saya. 









Meneliti semula hasil yang saya dapati, hati tiba-tiba jatuh cinta! Betapa banyaknya nikmat dan keindahan bumi Tuhan yang ada di sekeliling, tidak saya terokai sepenuhnya.


Jika diikutkan, 'nature photography" bukanlah kecenderungan saya. 


Namun demi mahu menghilangkan kebosanan, saya menjadi tidak kisah berlama-lama mengadap sekumpulan kerengga yang meniti di atas ranting kayu sambil sesekali memanjat dan menggigit kaki.  


Bergigih 'mengejar' cahaya matahari yang menerobos masuk melalui lubang kecil dinding rumah emak. 


Benarlah kata orang, tak kenal maka tak cinta. Kita berasa jauh, kerana kita tidak cuba mahu mendekati. 


Pada saat saya resah kerana kehilangan nikmat kebebasan yang selama ini begitu mudah saya perolehi, digantikan saya dengan nikmat 'keindahan' yang selama ini tidak begitu saya peduli.


Begitulah penangan Covid 19 yang akhirnya berjaya memaksa saya lebih menghargai sekecil-kecil perkara yang ada di sekeliling saya.


Ternyata COVID 19 mengajar saya tentang satu ilmu berharga.



"Hidup bukanlah tentang berapa banyak nikmat yang kita ada, tapi sejauh mana kita menghargai setiap apa yang kita ada."



You Might Also Like

2 komen

  1. Best...best...shoot kerengga tu ada kena gigit Tak🤭🤭 .

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kubang kerbau sanggup kuredah, apalah sangat takat kena gigit kerengga.. hahaha

      Delete